Apr 22, 2022 - FASSelangor FC akan berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak jam 10 malam ini bagi menentang Terengganu FC (TFC) yang juga merupakan perlawanan kedua terakhir untuk bulan ramadan ini dalam saingan Liga Super 2022.
Kemenangan 4-1 sebelum ini pastinya telah menambah keyakinan pasukan untuk memburu kemenangan seterusnya. Menurut Michael Feichtenbeiner, Ketua Jurulatih Selangor FC, anak-anak buahnya mahu kekal mempamerkan aksi yang terbaik.
"Pasukan mahu mengekalkan corak permainan yang terbaik seperti sebelum ini. Tidak dinafikan pasukan lawan kali ini bahagian serangan mereka antara yang berbahaya. Oleh yang demikian, kami pasti akan fokus untuk bertahan tetapi akan terus menyerang dalam masa yang sama. Kami mahu menguasai permainan pada malam dan itu adalah sasaran kami!
Mentaliti kita mesti kuat dan berani terutamanya dalam perlawanan di tempat lawan. Kita mengharapkan suasana stadium yang baik terutamanya di Terengganu. Saya harap pemain-pemain akan bermain dengan yakin selepas kemenangan besar baru-baru ini. Kami akan mempamerkan prestasi yang sama menentang TFC," Yakin Michael.
Dari segi keberadaan pemain untuk perlawanan Liga Super hari ini, pasukan Selangor FC masih belum berkesempatan menggunakan khidmat R. Dinesh yang berada dalam fasa pemulihan daripada kecederaan ‘anterior cruciate ligament’ (ACL).
Namun begitu, penyokong Selangor FC boleh bersorak gembira dengan kepulangan pemain pertahanan import Yazan Al-Arab bersama pasukan pada malam ini daripada kad merah yang dilayangkan semasa menentang Negeri Sembilan FC yang lalu.
Semoga Selangor FC dapat membawa pulang tiga mata penuh dalam perlawanan malam ini. Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!